Welcome To My Blog. Thegigimanis!

Saturday, 9 March 2013

Coklat jana ekonomi

Coklat bukan setakat memberi kemanisan pada lidah sahaja, malah dapat memberi kemanisan di dalam hidup kepada sesiapa yang mengusahakan produk coklat.





Oleh Nor Adila Ab Kadir
COKLAT antara makanan kegemaran ramai terutama wanita kerana rasanya sedap selain dipercayai membantu untuk menghilangkan stres.
Ia juga sering dijadikan hadiah istimewa untuk teman dan insan tersayang, namun tidak ramai mengetahui cara membuat coklat yang enak dan cantik. 
Seronok rasanya jika dapat membuat coklat sendiri di rumah sambil dibantu ahli keluarga dalam suasana yang penuh ceria. 

Malah kini, semakin ramai suri rumah memulakan perniagaan coklat dari rumah memandangkan ia juga mampu menjana pendapatan agak lumayan.

Membuat coklat buatan tangan sebenarnya sangat mudah jika sudah mempelajari teknik pembuatannya. Ia boleh dipelajari melalui kursus atau bengkel serta pembacaan termasuk di Internet, malah kos permulaan juga sangat rendah.

Sempena Hari Koko Sedunia, Lembaga Koko Malaysai (LKM) mengambil inisiatif menganjurkan Kursus Pembuatan Coklat Buatan Tangan untuk pengamal media dalam program Hari Coklat Koko Malaysia 2012 (MCCD 2012). 

Seramai 15 wakil media berpeluang menimba pengalaman membuat coklat dalam kursus di­adakan di Pusat Inovatif dan Teknologi Koko (CICT), Nilai, baru-baru ini. 

Penerbit Rancangan RTM, Nor Hanah Mohd Noordin, 36, berkata, dia seronok mengikuti kursus pengenalan coklat buatan tangan buat pertama kalinya. 

“Saya rasa bertuah terpilih mengikuti kursus ini kerana banyak ilmu yang diperoleh selain gembira diberi peluang membuat coklat secara amali walaupun 
rasa kekok pada mulanya. 

“Selain itu, saya juga dapat mengenali produk koko keluaran negara yang setanding dengan produk jenama luar di pasaran. 

“Selepas ini, lebih mudah untuk saya mencari bahan untuk membuat kek atau biskut daripada coklat tempatan yang berkualiti. Sebelum ini saya hanya mengambil kira kesedapannya saja tanpa mengetahui kandungannya sama ada tulen atau sebaliknya,” katanya. 

Peserta, Jara Bati, 45, dari Kuching, Sarawak, berkata, dia berminat mengikuti kursus itu kerana ia boleh dikomersialkan dari rumah oleh suri rumah seperti dirinya. 

“Saya mula berminat untuk menjadi usahawan coklat buatan tangan ini apabila melihat kejayaan rakan yang sudah mencuba bidang ini dan berjaya meraih pendapatan lumayan apabila mendapat pemintaan tinggi terutama daripada golongan muda. 

“Rakan saya mencadangkan saya membuat perniagaan secara kecil-kecilan untuk membantu menambah pendapatan keluarga. Ini kerana permintaan terhadap coklat buatan tangan memang sentiasa ada disebabkan rasanya yang pelbagai dan unik berbanding coklat yang lebih komersial di pasaran. 

“Permintaan coklat buatan tangan kini semakin memuncak terutama menjelang musim perayaan dan cuti sekolah seperti tempahan untuk dijadikan cenderahati kenduri kahwin atau hantaran pertunangan,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi MCCD 2012, Suzannah Sharif berkata objektif 
penganjuran MCCD pada tahun ini adalah untuk mendidik orang ramai mengenai koko dan produk hiliran koko di negara ini. 

“Orang ramai kurang diberi pendedahan berkenaan produk koko di negara ini. 
Justeru, promosi berterusan seperti ini dijangka akan meningkatkan permintaan dan penggunaan koko, seterusnya memajukan industri koko di Malaysia. 

“Selain itu, MCCD juga akan memberi peluang kepada usahawan untuk berkecimpung dalam perniagaan membuat coklat tangan serta mempunyai akses untuk mendapatkan bekalan bahan mentah dan peralatan untuk membuat coklat. 

“Malah, penganjuran MCCD ini menjadi satu platform yang mampu menarik lebih ramai petani menanam koko bagi mening­katkan pengeluaran koko tempatan. Ini sekali gus dapat memenuhi permintaan biji koko kering bagi kilang pemprosesan dalam negara,” katanya. 

Suzannah berkata, setakat ini, seramai 133 usahawan coklat sudah berdaftar di bawah LKM dan jumlahnya semakin meningkat setiap tahun.

Sumber:http://w1.hmetro.com.my/articles/Coklatjanaekonomi/Article/

Kebaikan coklat

Coklat seringkali dikaitkan sebagai makanan ringan yang tidak mempunyai nilai pemakanan dan boleh memudaratkan kesihatan seperti kegemukan.

Di sebalik tanggapan negatif ini, coklat juga dikatakan mempunyai khasiat tertentu kepada penggemarnya kerana mengandungi protein, karbohidrat, tenaga dan beberapa vitamin serta mineral yang diperlukan.

Coklat kaya dengan antioksidan seperti catechins an phenols yang membantu dalam pencegahan sakit jantung dan kanser.

Phenols dikatakan dapat melindungi daripada serangan sakit jantung, malah antioksidan yang wujud bukan setakat melindungi sel-sel dan DNA daripada radikal bebas, ia turut menghalang pembentukan bahan lemak yang boleh menyebabkan salur darah jantung tersumbat.





Makan coklat dikatakan boleh menguatkan sistem pertahanan badan serta mengurangkan risiko jangkitan selsema dan ia mengandungi bahan seperti ubat penenang yang menjadi penahan sakit serta meningkat tahap rasa kesihatan kerana coklat mengeluarkan endorphins yang membuat kita rasa gembira.

Justeru, coklat amat sesuai dijadikan makanan gantian semasa menjalankan aktiviti luar seperti mengembara, mengikuti ekspedisi pendakian, bersukan serta aktiviti rekreasi yang lain.





Selain itu, coklat merupakan bekalan makanan mudah yang boleh dimakan bila-bila masa dan di mana jua.



Sumber: http://drrozmey.wordpress.com/2010/01/29/kebaikan-coklat/

Jenis-jenis Coklat

Terdapat beberapa jenis coklat di pasaran. Berikut adalah fakta berkaitan coklat;


1. Coklat susu (milk choc)

  • Terdiri dari campuran likur koko, lemak koko, susu dan gula. Coklat jenis ini digemari oleh peminat coklat berbanding jenis lain serta mengandungi nilai pemakanan yang tinggi. 
  •  Coklat susu seberat 100gm boleh menyumbangkan 18% daripada tenaga, 11% protein, 8% zat besi, 47% kalsium, 19% riboflavin (vit B), 11% vit A yang diperlukan sehari dalam badan.



2. Coklat putih (white choc)
  • Terdiri dari campuran gula, lemak koko dan susu.
  • Coklat putih juga mengandungi kandungan tenaga yang tinggi (18%) serta kalsium dan vitamin yang tinggi.
  • Walaubagaimanapun kandungan protein agak rendah kerana ia tidak mengandungi likur koko dan serbuk koko.
  • Rasanya lebih manis berbanding coklat jenis lain.



3. Coklat hitam/pahit (dark choc)
  • Terdiri dari campuran likur koko, gula dan lemak koko.
  • mengandungi kandungan lemak dan zat besi yang tinggi (23%).
  • Walaubagaimanapun, kandungan zat lain agak rendah kerana ia tidak mengandungi campuran susu.


4. Coklat berperisa
  • Di dalam pasaran terdapat pelbagai jenis coklat dengan pelbagai perisa dan warna mengikut citarasa pengguna.
  • Coklat berwarna dihasilkan dari coklat putih




5. Coklat tanpa gula (coklat diabetik)

  • Bagi menghasilkan coklat ini, gula digantikan dengan gula tiruan seperti maltitol, sorbitol dan isomalt.
  • Coklat tanpa gula ini masih mengekalkan kemanisan dan selamat untuk diambil oleh pesakit kencing manis.
  • Coklat jenis ini sukar ditemui di pasaran dan harganya agak mahal.



Sumber : Portalduniaku.koko.my