Oleh Nor Adila Ab Kadir
COKLAT antara makanan kegemaran ramai terutama wanita kerana rasanya sedap selain dipercayai membantu untuk menghilangkan stres.
Ia juga sering dijadikan hadiah istimewa untuk teman dan insan tersayang, namun tidak ramai mengetahui cara membuat coklat yang enak dan cantik.
Seronok rasanya jika dapat membuat coklat sendiri di rumah sambil dibantu ahli keluarga dalam suasana yang penuh ceria.
Malah kini, semakin ramai suri rumah memulakan perniagaan coklat dari rumah memandangkan ia juga mampu menjana pendapatan agak lumayan.
Malah kini, semakin ramai suri rumah memulakan perniagaan coklat dari rumah memandangkan ia juga mampu menjana pendapatan agak lumayan.
Membuat coklat buatan tangan sebenarnya sangat mudah jika sudah mempelajari teknik pembuatannya. Ia boleh dipelajari melalui kursus atau bengkel serta pembacaan termasuk di Internet, malah kos permulaan juga sangat rendah.
Sempena Hari Koko Sedunia, Lembaga Koko Malaysai (LKM) mengambil inisiatif menganjurkan Kursus Pembuatan Coklat Buatan Tangan untuk pengamal media dalam program Hari Coklat Koko Malaysia 2012 (MCCD 2012).
Seramai 15 wakil media berpeluang menimba pengalaman membuat coklat dalam kursus diadakan di Pusat Inovatif dan Teknologi Koko (CICT), Nilai, baru-baru ini.
Penerbit Rancangan RTM, Nor Hanah Mohd Noordin, 36, berkata, dia seronok mengikuti kursus pengenalan coklat buatan tangan buat pertama kalinya.
“Saya rasa bertuah terpilih mengikuti kursus ini kerana banyak ilmu yang diperoleh selain gembira diberi peluang membuat coklat secara amali walaupun
rasa kekok pada mulanya.
“Selain itu, saya juga dapat mengenali produk koko keluaran negara yang setanding dengan produk jenama luar di pasaran.
“Selepas ini, lebih mudah untuk saya mencari bahan untuk membuat kek atau biskut daripada coklat tempatan yang berkualiti. Sebelum ini saya hanya mengambil kira kesedapannya saja tanpa mengetahui kandungannya sama ada tulen atau sebaliknya,” katanya.
Peserta, Jara Bati, 45, dari Kuching, Sarawak, berkata, dia berminat mengikuti kursus itu kerana ia boleh dikomersialkan dari rumah oleh suri rumah seperti dirinya.
“Saya mula berminat untuk menjadi usahawan coklat buatan tangan ini apabila melihat kejayaan rakan yang sudah mencuba bidang ini dan berjaya meraih pendapatan lumayan apabila mendapat pemintaan tinggi terutama daripada golongan muda.
“Rakan saya mencadangkan saya membuat perniagaan secara kecil-kecilan untuk membantu menambah pendapatan keluarga. Ini kerana permintaan terhadap coklat buatan tangan memang sentiasa ada disebabkan rasanya yang pelbagai dan unik berbanding coklat yang lebih komersial di pasaran.
“Permintaan coklat buatan tangan kini semakin memuncak terutama menjelang musim perayaan dan cuti sekolah seperti tempahan untuk dijadikan cenderahati kenduri kahwin atau hantaran pertunangan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi MCCD 2012, Suzannah Sharif berkata objektif
penganjuran MCCD pada tahun ini adalah untuk mendidik orang ramai mengenai koko dan produk hiliran koko di negara ini.
“Orang ramai kurang diberi pendedahan berkenaan produk koko di negara ini.
Justeru, promosi berterusan seperti ini dijangka akan meningkatkan permintaan dan penggunaan koko, seterusnya memajukan industri koko di Malaysia.
“Selain itu, MCCD juga akan memberi peluang kepada usahawan untuk berkecimpung dalam perniagaan membuat coklat tangan serta mempunyai akses untuk mendapatkan bekalan bahan mentah dan peralatan untuk membuat coklat.
“Malah, penganjuran MCCD ini menjadi satu platform yang mampu menarik lebih ramai petani menanam koko bagi meningkatkan pengeluaran koko tempatan. Ini sekali gus dapat memenuhi permintaan biji koko kering bagi kilang pemprosesan dalam negara,” katanya.
Suzannah berkata, setakat ini, seramai 133 usahawan coklat sudah berdaftar di bawah LKM dan jumlahnya semakin meningkat setiap tahun.
Sumber:http://w1.hmetro.com.my/articles/Coklatjanaekonomi/Article/
No comments:
Post a Comment